.: Pada Pencarian~ :.

Sunday, December 2, 2012


Sedikit luahan coretan rasa hati~

Petang itu dia duduk bersama Edi dan Sufi di tepi tasik. Bersama sahabat usrahnya di dunia dan semoga sampai diakhirat. Melihat beberapa pandangan keluarga dan juga pasangan yang didalam sangkaan baiknya, suami dan isteri. Ya, petang itu sekadar jalan jalan. Jalan merehatkan minda dan mencari sedikit ketenangan~

Di tempat rehat itu mereka duduk. Memerhatikan pemandangan tasik yang tidak kurang indahnya. Melihat ciptaan Maha Pencipta dan lantas berbisik, tidak Engkau ciptakan kami sia sia. Maka benarlah, hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang.

“Iman~ Bila lagi nak berwalimah?” Tanya Sufi tiba tiba.

Seketika aku jadi tersedak~ Pemandangan yang seketika tadi dipandang dengan penuh khusyuk terputus hanya kerana soalan Sufi yang mengelikan hati.  Aku mengelengkan kepala sambil tertawa kecil.

“Sufi sufi~ kau ni takde soalan lain kan?” Balasku~

Sufi dan Edi ketawa~

“Yela, kau dah pernah kecewa. Biasanya orang yang kecewa ni cepat bangkit semangatnya nak mencari cinta yang halal~” Celah Edi.

Aku jadi geli hati dengan kata Edi. Apakah ada rasionalnya? Ah.. Edi Edi.

“Entahlah, aku tak tahu. Bila tiba masa, bila Allah kata ya, maka Bismillah, aku terima apa saja yang Allah tetapkan” Balasku sambil tersenyum~

“Engkau ni masih terluka~” Balas Edi pendek~ Cuba menduga barangkali?

“Betul, masih teringatkan Aufa?” Celah Sufi menbenarkan kata Edi~

Ah.. mereka. Ada saja kata kata yang cuba mencungkil rahsia. Dan jujurnya, itu yang aku kagumi pada sahabat seperti mereka~ Ya, sahabat yang sentiasa perihatin terhadapa sahabatnya yang lain.

“Mungkin~” Balasku pendek~

“Kenapa?”

“Entah. Kerana mungkin alasannya ketika dan waktu ini aku tiada apa. Tiada kerja, dan tiada segala~ mungkin.” Balasku pendek~ Tersenyum.

Jujurnya, luka itu telah pun mula sembuh. Ya, sedikit demi sedikit. Namanya sudah tiada dalam doa dan harapan, namanya sudah tidak terbayang dalam fikiran. Bahkan sedikit sebanyak, lukanya itu tidak memberikan kesan pada dirinya lagi.Ya, pergi bersama rintihan doa yang pernah dia titipkan.

Ah.. bagaimana mahu menjelaskan pada sahabat sahabatnya ini~ Bahawa dia sudah mampu mengharungi segala.

“Jadi, apa perancangan kau sekarang Iman. Jodoh itu harus diusahakan bukan? Jodoh mana mungkin datang jatuh bergolek dari langit. Ya, Mana mungkin wanita yang baik itu datang dari langit dan mucul dihadapanmu. kan?” Tukas Edi. Sinis. Tapi ada benarnya~

Kami tertawa~ Geli hati. Metafora sungguh kata Edi.

“Entah. Mungkin sekarang, yang aku cari adalah seseorang yang mampu terima aku pada waktu dan ketika ini. Yela, tak lama lagi aku akan bergelar engineer. Dan tak lama lagi, consultant training yang aku usahakan di atas nama aku sendiri mungkin mencipta nama. Pada waktu dan ketika itu, pasti ramai yang ingin mendekati. Yela, siapa tak nak engineer kan? Lagipun masa tu dah ada kerja, dah pun stabil. Dah ada segala”

Aku diam seketika~ pandangan aku alihkan jauh ke tasik.

“Tapi..” Sambungku~

“Yang aku cari, bukan sesiapa yang mampu terima aku pada waktu dan ketika itu. Tapi aku ingin mencari seseorang yang mampu terima aku ketika dan waktu ini. Ya, ketika aku masih tiada apa. Engkau sendiri lihat Edi, bagaimana aku tidak diterima hanya kerana aku tiada kerja sekarang. Dengan hidup aku yang baru hendak bermula. Bersusah payah mencari tender untuk consultant yang baru aku buka. Benar, payah Edi”

Balasku tersenyum~

Sufi datang merapat. Perlahan dia mengengam bahuku erat. Seketika berkata~

“Apa yang aku lihat pada kau Iman, kau seorang yang lemah lembut tapi penuh hikmah. Dan kau seharusnya mendapatkan seseorang yang mampu mengimbangi kelembutan jiwamu. Yang mampu meniupkan semangatmu dalam kelelahan mengharungi hidup. Dan dalam perjuangan hidupmu yang melelahkan nantinya~ itu nasihat aku Iman.” Balas Sufi sambil tersenyum. Penuh ikhlas~

Edi mengangguk~

Terima kasih sahabat. Terima kasih untuk semangatnya. Bisik hati kecil itu.

“Jadi sekarang, kenalah cari yang ikhlas kan? Tapi yang ikhlas itu bukan semudah mencari burung diawan, tetapi sesukar mencari permata dilautan. Mungkin sukar~ tapi tidak mustahil. Jujurnya Sufi, aku tidak pernah memilih dalam mencari. Sebab aku tahu aku tidak pernah layak dipilih asalnya. Tetapi jika Allah beri nikmat isteri yang solehah, maka itu adalah nikmat yang tidak seharusnya aku mungkiri. Tapi jika tidak, aku masih percaya, yang baik itu bukan saja diawal, tapi di pertengahan dan juga akhir kan?” Balasku.

Sufi dan Edi tersenyum~ Senang sekali.

“Benar. Dan yang lebih penting dari itu, adalah sibukkan diri dengan Allah. Dengan kewajipan yang Allah beri. Itu sebetulnya~” Jawab Edi bersemangat.

Kami ketawa bersama~

Petang yang indah.
Semoga ukhwah terikat padu walaupun berlalunya masa.

---
Oh? Entri yang tiada apa~Conteng conteng yang entah apa apa~hoho^^


.: Salah faham~ :.

Wednesday, November 28, 2012


Selesai solat Isyak di Masjid Tuanku Mizan, saya tidak terus pulang. Entah kenapa saya ingin bersendirian buat seketika. Saya berjalan ke suatu sudut, dan meletakkan beg galas yang berwarna kelabu kusam itu disisi. Beg yang setia menemani saya ketika saya di alam Universiti. Perlahan, saya keluarkan mushaf yang saya cintai itu. Saya cium penuh ta’zim. Dan disela waktu ketika, saya membaca dan mentadabur.

Selesai mentadabur saya menjadi termenung panjang~ ya, termenung yang sangat panjang. Betapa selama ini, saya tidak pernah mengambil tahu tentang apa yang telah ditulis didalam mushaf yang kecil itu. Betapa saya selama ini memandang rendah akan larangan larangan dan peraturan yang telah diperintahkan dalam mushaf yang kecil itu.

Dan perlahan, ada genang air mata yang bertakung~

Pernah satu ketika, saya pernah membuat keputusan, bahawa ini bukan jalan saya. Pernah saya berkata, saya tidak mahu mengambil tahu tentang jalan ini. Jalan dakwah yang diperintahkan untuk saya. Mungkin kerana ketika itu saya teramat rimas dengan hukum dan peraturan yang sangat sibuk dibahaskan. Hingga saya merasakan bahawa agama yang saya anuti ini sangat sukar. Dan pernah saya menyatakan dalam hati, bahawa biarlah mereka yang berada didalam bidang agama ini membahaskan dan menyebarkan agama ini antara mereka.

Astaghfirullah~

Saya beristifar. Betapa saya akui kelemahan dan kesalahan saya suatu ketika dulu. Bahkan tidak! Jalan ini tidak memilih siapa, tetapi setiap insan tanpa jalan ini pasti dan pasti akan tersesat. Ternyata jalan dakwah yang saya cuba jauhi ini, jalan yang saya pernah menyerahkan kepada golongan tertentu untuk menyebarkannya, ternyata jalan inilah jalan yang saya cari selama ini.

Saya jadi terdetik untuk mencari kebenaran. Dan entah bagaimana, setelah hampir berputus asa dek kerana terbebannya hukum~ Allah jemput saya kembali melihat Islam. Saya terdetik untuk melibatkan diri dalam mencari kebenaran. Mencari di agama manakah kebenaran yang saya cari salama ini berada?

Dan Alhamdullilah, Allah buka saya jalan dan ruang untuk memahami ilmu perbandingan agama. Dan saya mula mencari kebenaran itu dalam setiap agama. Adakah pada Kristian, Hindu, Budhha ataupun Islam. Dan ternyata dipenghujung pencarian saya, saya bertemu dengan permata yang sangat berharga. Kebenaran yang saya cari itu ada pada Islam.

Dan saya bersetuju, jika semua agama menyatakan kebaikan, mengapa harus Islam? Dan jawapan yang saya temui, kerana Islam itu sememangnya diturunkan oleh pencipta sekalian alam, Allah. Maka Allah yang lebih tahu, apa yang terbaik untuk HambaNya. Saya tidak pernah dan tidak pernah mebanding bandingkan agama kerana mencari kelemahan. Bahkan tidak, kerana yang saya cari adalah kebenaran.

Dan didalam Islam, segala soalan yang saya cari, ada didalam Islam. Saya akui, sebelumnya saya juga mempunyai beberapa kekeliruan dan soalan yang saya bimbang saya tanyakan pada Ahli agama, mereka akan berkata, bukan tempat saya untuk bertanya. Dan saya akui, soalan soalan ini sebenarnya adalah salah faham terhadap Islam.

Mungkin sebelum ini saya terlalu sesak kerana dihampiri dengan hukum. Jika dimana mana ceramah yang saya hadiri, sibuk membahaskan tentang haram, dosa, neraka dan sebagainya. Dan jujur saya katakan, saya hampir ingin menjauhkan diri dengan majlis majlis ilmu ini hanya merasakan terlalu banyak hukum yang saya perlu penuhi.

Astaghfirullah~ Maha Suci Allah yang menjadikan Islam itu susah untuk hambaNya.

Dan apa dari pandangan saya yang kerdil ini, mungkin kerana pendekatan pendekatan seperti  ini yang membuatkan anak muda kita semakin jauh dengan Islam. Semakin tidak nampak keindahan Islam. Semakin merasakan Islam itu menyusahkan. Dan jujur saya akui, saya juga pernah merasakan perkara yang sama. Jujurnya saya bukanlah orang yang baik. Saya seorang anak muda yang terlalu banyak melakukan kesalahan dan kesilapan. Bahkan dosa saya tidak terbilang banyaknya hingga tidak dapat dibayangkan oleh mereka dan mereka.

Saya juga pernah bertanya, dimana ahli ahli agama ketika saya memerlukan mereka?
Dimana mereka ketika saya merasakan sudah hampir berputus asa dari rahmat Allah?
Dimana mereka yang tahu berada dibarisan hadapan menghadapi remaja seperti saya?

Apa yang saya tahu tentang Islam sebelumnya, adalah hukum haram haram dan haram~
Haram simpan anak patung~
Haram pakai baju berkartun~
Tidak sah solat pakai seluar menunjukkan bentuk kaki~
Tidak sah solat mengerak gerak kan jari ketika tashyahud akhir~

Allah, betapa jahilnya saya~

Jarang kita bertemu dengan ceramah yang memberi nilai rahmat Allah. Jarang kita mendengar ceramah mengenalkan Allah kepada mereka. Jarang kita mendengar ceramah menyemaikan rasa cinta kepada Allah. Jarang kita mendengar ceramah, Allah mengampunkan dosa walau setinggi langit atau seluas lautan.

Bila ada cinta, takut itu pasti akan hadir. Bila ada cinta, barulah hukum yang Allah beri mampu kita bawa~

Dan saya menjadi seperti orang Islam yang baru memeluk Islam. Baru mahu mengenal Islam dan keindahan Islam. Baru baru ini saya berkesempatan menghadiri interfaith dialogue science and religion di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Panelistnya terdiri daripada beberapa orang dari agama yang berlainan. Dan apa yang saya lihat, apa yang saya perhati, hanya Islam sahaja yang mampu menghubungkan agama dan sains itu dengan cara yang amat terbaik, dengan cara yang amat saintifik. Yang saya rasa amat mustahil, bahawa mana mungkin agama Islam ini bukan dari Pencipta Alam.

Mushaf kecil itu saya dakap erat. Terasa seperti sudah terlalu lama membiarkannya tanpa saya ketahui apa yang disampaikan didalamnya.

Apa yang membuat saya tertarik kembali dengan Islam, kembali kepada fitrah, apabila saya berkesempatan mendengar pengisian daripada brother Lim Jooi Soon. Ada beberapa salah faham saya terhadap Islam sebelum ini sebenarnya telah pun dijawab didalam Islam sendiri.

Seperti soal keadilan Allah didalam Islam dan untuk manusia. Kenapa Islam membenarkan poligyny bagi lelaki, kenapa tidak membenarkan polyandry untuk perempuan, kenapa Allah menciptakan sesetengah orang lahir dalam Islam dan sesetengan orang lahir dalam bukan Islam. Adakah Islam terbina dan disebarkan atas pedang, dan sebagainya~

Dan jujurnya saya ingin menjawab segala soalan soalan ini satu persatu.Saya yakin, soalan soalan ini bukan kita saja yang bertanya, tetapi bahkan orang bukan Islam lain diluar yang bertanya. Insya Allah, dikesempatan lain pasti saya akan menjawabnya. Dan yang paling berharga yang saya temui didalam Ilmu perbandingan agama, adalah keaslian Al Quraan. Apa yang lihat, dan yang apa mereka kongsi, Al quraan itu sememangnya kalam dari Ilahi. Dan kita boleh melakukan dengan cara yang sangat saintifik, langkah langkah yang sangat saintifik.

Setelah saya baru mengenal Islam, saya lebih ingin tahu apa yang Allah kata. Berbanding apa yang manusia kata~ Walaupun saya beragama Islam sejak lahir, tetapi baru sekarang saya ingin belajar cintakan Allah. Bagaimana mungkin cinta akan hadir tanpa kenal, bukan? Mungkin selama ini, saya jarang dikenalkan kepada Allah. Kenapa saya harus sayangkan Dia? Kenapa harus saya takutkan Dia? Kenapa saya harus rindukan Dia?

Apa yang saya lakukan sebelum ini, kerana apa yang orang kata. Kerana orang kata saya perlu cintakan Allah, maka saya cuba tanpa saya kenali dengan sebenarnya Tuhan yang harus saya sayangi. Sebab didalam masa yang sama, saya terlalu disibukkan dengan hukum. Jadi diantara dua pilihan, saya memilih mengikuti hukum dahulu. Dan kerana itu hingga timbul perasaan bahawa Islam ini menyusahakan.

Maha Suci Allah yang dari bersifat menyusahkan HambaNya~

Mungkin satu yang kita kurang akhir akhir ini,adalah berlapang dada dengan pandangan yang berbeza. Kita terlalu sibuk dengan pandangan pandangan tentang hukum hingga kita mengabaikan anak anak muda yang ingin kembali kepada Islam. Sedangkan Imam imam mazhab utama sendiri berlapang dada dengan pandangan yang berbeza.Cuma kita saja yang sibuk mengatakan orang ini salah, orang ini betul.


Dan mungkin salah satu perkara yang perkara yang penting disini, adalah salah tanggapan kita terhadap Islam sendiri. Kita selalu sangka, bila seseorang itu Islam, maka dia harus menjadi melayu. Berpelikat, bersongkok, berbaju melayu. Bahkan tidak~ Islam bahkan lebih mulia dari budaya. Kita keliru, menjadi seorang Islam atau memelayukan seseorang dengan bungkusan Islam. Kita keliru, Islam itu bukah hanya ada pada hukum.

Tidak~ diawal penurunan Islam, baginda latih sahabat dengan akidah. Baginda lihatkan kebenaran. Bagi mereka yang mencari kebenaran, hanya kebenaran yang mampu meluluhkan hati. Mana mungkin Tuhan itu dua atau tiga, tetapi bersifat Esa. Mana mungkin Tuhan itu menciptakan masa maka Dia tertakluk pada masa. Mana mungkin Tuhan itu menciptakan bentuk maka dia terikat dengan bentuk yang Dia ciptakan.

Kebenaran kebenaran inilah yang meluluhkan mereka terhadap Islam. Apabila mereka yakini sesuatu itu benar, maka mereka akan bermati matian mempertahankan kebenaran. Walaupun nyawa mereka menjadi taruhan. Kerana itu diawal penurunan Islam, Allah dan Baginda latih mereka dengan akidah. Baginda kenalkan mereka dengan Allah. Dengan sifat penyayangNya Allah. Baginda sampaikan kepada orang orang yang berdosa, walupun setinggi langit dosa kamu, jika kamu bertaubat, Allah Maha Pengampun. Baginda latih mereka dengan sifat Maha Membalas Allah~ Jika kebaikan yang kita lakukan, maka kebaikan yang akan kita perolehi disisiNya. Setelah akidahnya mantap, Allah ganjarkan Syurga bagi sesiapa yang membuat kebaikan. Dan Allah memberi Amaran tentang neraka bagi sesiapa yang membuat kejahatan.

Maka sekali lagi, bila ada cinta, maka akan hadir ketakutan mendustai cinta. Seperti mana seorang suami bersumpah setia mencintai isterinya, pasti akan ada rasa takut menduakannya. Takut cintanya meninggalkannya. Kerana itu bila Allah sudah disayangi, maka mudahlah kita mengikut apa yang Allah perintahkan.

Saya jadi terdetik ingin berkongsi, kerana ramai diluar sana yang masih tercari cari. Dan saya yakin, bukan saya seorang yang pernah merasa jauh dengan Islam. Bukan saya seorang yang mencari kebenaran. Bukan saya seorang yang tersalah anggap tentang Islam.

Dan jujurnya, saya ingin menulis lagi. Menulis dan menulis. Menyampaikan apa yang saya rasa dihati. Menjelaskan segala kekeliruan yang saya pernah hadapi kepada mereka yang juga pernah bertanya soalan sama. Semoga saja saya masih diberi kesempatan olehNya.

Sebelum saya akhiri, saya ingin bertanya satu soalan, tidak kah kita rasa hidayah yang kita miliki ni terlalu berharga?

Tidakkah kita rasa Islam yang kita miliki ini adalah satu anugerah?~
Jika benar, tidak kah kita ingin melihat saudara kita diluar memiliki kebenaran seperti kita?
Egonya kita, kita cuma rasa Islam itu hanya untuk kita~
Egonya kita, kita tidak merasakan jalan ini bukan jalan kita~
Egonya kita, kita tidak merasakan dakwah itu satu kewajipan walaupun sekecil mana~

Dan percayalah, diakhirat nanti, jika mereka dihukum Allah memasuki neraka~

Pasti mereka akan berkata, “saya hidup didalam kalangan orang Islam, saya berinteraksi dengan orang Islam, saya bergelak ketawa dengan sahabat saya yang beragama Islam, tetapi percayalah tidak ada seorang pun diantara mereka pernah menyampaikan kalimah Islam kepada saya. Percayalah, kerana mereka saya dihumban masuk kedalam api neraka.  Dan percayalah, kerana mereka, saya akan kekal didalamnya. Dan kerana itu, saya tidak redha kepadanya syurga”

Maka apa jawapan kita pada ketika itu?

Jangan disibukkan dengan berapa ramai kita Islamkan orang, kerana tetap hidayah itu milik Allah. Tapi tanya, berapa ramaikah orang yang telah kita sampaikan kalimah Islam kepadanya. Kerana itu tanggungjawab kita.


.: Kerana itu dari hati~ :.

Sunday, October 14, 2012


Usai menyudahkan kerja dimeja, dia menjilid beberapa lembaran penting di buku hitam itu. Buku yang dia kira amat memudahkan dirinya mengingat beberapa rancangan yang telah direncanakan. Di tandanya beberapa tarikh penting program program yang perlu di isi, dan beberapa program yang perlu di penuhi. Dia kembali menyemak jadualnya seminggu ini. Pengajian al kitab pada hari isnin, pengajian Fiqh munakahat pada hari selasa, dan beberapa kuliah yang lain yang dapat dia hadiri. Dan dihujung minggu itu, ada program yang perlu di isi di sekolah rendah itu.

Ah.. bilakah ruang untuk ku? Bisik hati kecilnya. Tetapi lantas ditepis jauh rasa itu. Kerana niatnya hanya satu sejak dahulu, Erti hidupnya pada memberi.

Dia berkemas, menyusun kertas berselerakan itu menjadi satu. Dan memasukkan semuanya di bawah satu fail. Harus bergegas mengejar maghrib. Kerana jam menunujukkan hampir masuk waktu. Tambahan pula, jarak perjalanan antara perpustakaan dengan Masjid Tuanku Mizan agak jauh jika berjalan kaki. Sayang rasanya untuk dia meninggalkan pengajian Fiqh munakahat pada hari itu. Ya, untuk kembali menimba ilmu  yang pasti diamanahkan pada dirinya suatu hari nanti.

Selesai solat Maghrib, Ustaz Azuhan menyambung intipati pengajian dengan mengulang kembali pengisian pada minggu lepas. Tentang apakah matlamat perkahwinan bagi seorang muslim. Apakah perkahwinan itu adalah suka sama suka, atau sesuatu yang lebih dari itu. Dan jujurnya, dia tertarik dengan Ustaz Azuhan katakan, berapa ramai dari kita yang berkahwin kerana mahu meramaikan umat Baginda Rasul yang kita cintai itu? Berapa ramai dari kita mahu mendidik anak anak kita dengan nilai Iman dan Islam hingga mereka boleh dibanggakan Baginda Rasul?

Allah.. Relung hatinya kian membasah. Terlalu kerdil rasanya diri dengan ilmu yang tidak seberapa cuma. Selain matlamat kita menyempurnakan separuh agama, cinta kita harus ke syurga. Bagaimana? Ya, dengan meletakkan Cinta kepada Nya melebihi segalanya.

Dan dia menjadi tertarik dengan soalan yang diajukan, tentang bagaimana orang yang jahat ingin menjadi baik, jika orang yang baik adalah untuk orang yang baik. Jawapan yang Ustaz berikan amat berhikmah. Andai kata semua orang baik di dunia ini, dan ditakdirkan mendapat orang yang baik juga, adakah dia ingin menjadi jahat? Ya, setelah mendapat nikmat isteri yang solehah, yang menjaga keredhaan suami, nikmat suami soleh, dengan nilai yang diajarkan Baginda Rasul, adakah ingin orang yang baik itu menjadi jahat?

Bagaimana kita ingin merubah diri kita menjadi baik, Allah akan susun yang terbaik juga untuk kita. Ya, itu konklusinya.

Oh? Dan dia juga tertarik dengan ciri ciri wanita yang disunatkan dilamar. Wanita yang disunatkan dilamar adalah wanita yang penuh cinta dan kasihnya. Supaya dengan cinta dan kasihnya, dia dapat menjaga keredhaan suaminya terhadap dia. Selain itu, wanita yang banyak zuriat juga disunatkan dilamar. Ini kerana bertepatan dengan pesanan Baginda Rasul, yang gembira dengan ramainya bilangan umatnya. Dan oh? Diatas semua itu, Ustaz mengingatkan, apa yang dijelaskan bukanlah bermaksud dengan cinta sebelum nikah. Tetapi lebih kepada panduan untuk seorang suami memilih calon isteri. Kerana seorang suami bukan sekadar memilih isteri, tetapi juga memilih bakal ibu yang mendidik anak anak yang mendoakan mereka nanti disana.

Dan diatas semua itu, Ustaz Azuhan menegaskan, supaya menjaga zaman muda remaja dengan Iman dan Ilmu. Supaya dengan Iman dan Ilmu, kita akan membentengi diri daripada nafsu. Percayalah, tidak akan rugi orang yang ingin berubah kepada kebaikan, kerana Allah janjikan, pasti ada ganjaran. Tidak akan rugi, orang yang menginginkan kebaikan, kerana pasti Allah akan bantu mempermudahkan jalan. Selangkah kita padaNya, seribu langkah Dia kepada kita kan? Maka pegang itu erat erat di hati~

Oh? Dan kuliah Pengajian Fiqh Munakahat disambung pada minggu hadapan. Semoga saja dia sempat menghadiri pengajian Ustaz Azuhan dengan beban jadual yang amat tidak berperi kemanusiaan. Jadual itu janji kan? Maka apabila janji, dia harus dipenuhi. Walaupun harus merangkak ke sana~

Dan oh? Ustaz ada bertanya tentang calon pilihan hatinya, tetapi entah~ jawapan apa yang harus diberikan. Mungkin itu cerita yang harus diceritakan lain kali nantinya? Semoga saja ^^



.: Bahagia itu ada~ :.

Thursday, September 20, 2012


“Kenapa?” Tanya Edi. Cuba mencari sesuatu yang bermain di fikiran~

Tetapi entah kenapa, pertanyaan Edi aku anggap acuh tidak acuh. Bukan tidak dengar, tetapi entah, mungkin masih diselubungi rasa kecewa barangkali? Ya, mungkin.

“Hey, kenapa ni Iman?” Desak Edi lagi~

Aku hanya mendiamkan diri. Pandanganku memandang jauh pandangan dihadapan. Entah apa yang aku lihat, dan entah apa yang ku fikirkan, tetapi yang pasti fikiranku bukan situ.

Edi merapat, hampir dan duduk disebelahku. Aku masih begitu. Diam menyepi~

“Tentang Aufa?” Tanya Edi lagi~

Seketika mendengar nama Aufa, aku tersentap. Hampir berguguran jantungku mendengar namanya~ Seperti diheret ke lembah luka yang terlalu sakit untuk aku rasakan. Riak wajahku berubah. Jelas menunjukkan rasa kecewa yang amat dalam terhadap Aufa.

“Entah lah..” Balasku pendek~

Pandangan yang sedari tadi memandang hadapan, aku alihkan ke bawah. Titisan jernih itu ingin jatuh, tetapi aku tatang dengan hati yang hiba~

“Kau masih belum redha Iman~” Balas Edi pendek~

Aku tersenyum sinis~

“Bagaimana mungkin aku redha Edi. Aku sendiri sedang bertarung dengan rasa yang entah apa untuk aku fahami. Mungkin benar aku kecewa~ tetang dia yang bertunang tanpa aku sedari.” Balasku dengan suara yang amat perlahan sekali~

Ya, suara yang menyembunyikan seribu rasa kecewa. Rasa kecewa dengan diri, kecewa dengan Aufa, atau mungkin kecewa dengan semua. Entah~

“Edi~ Aku akui, waktu dan ketika ini aku tiada apa. Dan kerana itu aku tatang rasa yang ada dalam hati. Apa mungkin aku ingin menyentuh hidup seseorang, walaupun aku tahu, aku masih belum cukup sempurna? Aku sedang berusaha untuk sesuatu yang aku ingin dengan cara yang baik, edi~” Sambungku terhenti~

Edi hanya diam seribu bahasa~ tangannya diletakkan di bahuku. Diusap perlahan~

“Niatku hanya satu~ Selepas habis belajar, aku ingin mendekatinya dengan cara yang baik baik. Aku ingin datang kepadanya bukan dengan aku yang kosong. Bukan dengan  aku yang tiada apa, bukan dengan aku yang tidak mampu menyediakan komitmen apa~ Bahkan kau sendiri faham Edi, bagaimana usahaku akhir akhir ini~ Dan engkau sendiri lihat, bagaimana seriusnya usahaku ke arah itu~” sambungku lagi~

Air mata itu mengalir~ Ah.. Air mata~ janganlah terlalu murah begini~

Edi menyepi. Bahuku diusap dengan mahabbah~ dibiarkan sahabatnya itu seketika dengan perasaannya. Dibiarkan sahabatnya itu dengan air mata~ Dibiarkan sahabatnya itu meluahkan rasa~

“Iman..” Kata Edi memecah suasana~

Aku hanya diam. Memandang kosong pandangan dihadapanku~

“Kalau kita nak bahagia, kita kena bahagia dengan bahagia orang lain.” Sambung Edi lagi~

“Maksud kau Edi?” Balasku~

“Kau kena bahagia dengan kebahagiaan Aufa.”

Tersentap. Ahh.. apa mungkin. Apa mungkin aku mampu bahagia dengan bahagianya dia. Apa mungkin aku mampu gembira, ketika melihat dia gembira bersama orang lain disana? Hatiku memberontak keras. Diamku seribu bahasa~

“Iman, jangan pernah menyalahkan takdir. Belajarlah bahagia dengan kebahagiaan orang lain. Kerana bila kita bahagia dengan bahagianya orang lain, Allah akan tambah bahagia kita. Mungkin benar, datangnya orang lain mendahului. Tetapi itu tidak pernah bermaksud engkau tidak pernah layak untuk sesiapa. Engkau layak, tetapi bukan untuk Aufa~ untuk seseorang yang tercatat untukmu nanti” Sambung Edi panjang~

Hati aku sedikit sebanyak menerima kata Edi~ Kata Edi benar. Tiada cacat cela~ Benar Aufa terbaik, tetapi terbaik untuk orang yang ditakdirkan untuknya. Dan benar, aku juga terbaik, tetapi bukan untuk Aufa, untuk orang yang entah siapa yang ditakdirkan untukku nantinya~

Riak wajahku mula mengukir senyuman~ ya, seperti pelangi setelahnya hujan~

“Terima kasih Edi~” Balasku~

“Engkau benar~ Aku mungkin tidak layak untuknya. Apalah yang aku ada sekarang kan? Berbanding seseorang yang hadir dalam hidupnya sekarang. Lulusan luar Negara, berkerjaya~ Dan semestinya layak untuknya yang juga berpendidikan tinggi. Dan latar belakang keluarganya juga bukan sebarangan. Adik adiknya hebat. Aku? Hanyalah kelulusan pelajar kejuruteraan. Yang baru mahu memulakan hidup.” Sambungku terhenti~

“terima kasih Edi~ Kerana mengingatkan aku tentang rahsia bahagia. Benar katamu, mana mungkin aku bahagia, jika aku tidak pernah belajar bahagia dengan kebahagiaan orang lain. Kunci bahagia itu ada~ Jika aku memilih untuk bahagia~” Sambungku lagi.

Edi tersenyum~ Ihklas sekali. Doanya, Semoga sahabat yang dia sayangi ini terus kuat menghadapi hidup.

----
Uh... (-.-!!)Tetibe idea habis~~


.: Of love and life 3 :.

Thursday, September 13, 2012


Sebentar tadi ketika berleha leha di laman sesawang, aku disapa oleh seorang sahabat yang aku kira aku kenali di sebuah program di Johor satu ketika dahulu. Sapaannya sekadar sapaan~  Tetapi tetap dengan santunnya yang tinggi.

Benarnya, aku ingin memangkah laman ini. Dengan tubuh yang ketagih rehat disebabkan demam panas yang menyerang tiba tiba, memang selayaknya aku berehat. Tetapi satu yang membuat aku tertegun, tentang ajakkannya  ke sebuah majlis perkahwinan. Lantas aku matikan niatku~ Menanti bait kata yang ingin ditulis adik itu.

Oh ya~ Jika kalian mahu tahu, sahabat yang aku gelar adik itu adalah sahabat yang bersama tinggal di bawah satu bumbung keluarga angkat. Ya, ketika program di Johor. Adik yang berwatak sederhana. Yang jelas tergambar seri pada kejernihan wajahnya.

Sudah menjadi kebiasaan, teman teman yang aku kenali seringkali menempah tarikh tarikh tertentu untuk program program mereka. Terkadang menjadi fasi, atau sekadar menyibuk nyibuk di acara teman teman. Tetapi kini, adik itu menempah tarikh, bukan untuk program. Tetapi tarikh Walimah dia yang akan diadakan nantinya~

Aku jadi tergamam.
Amat!

Apakan tidak, seperti baru semalam, dia menceritakan kisah luka yang pernah dia hadapi. Mungkin kerana kisah kami ada persamaan nya~ Dan kerana itu, sedikit sebanyak, aku amat faham tentang luka itu. Tapi, bila dijemput ke majlis walimahnya~ Aku jadi tertegun.

Yang mengundang ketegunan aku adalah pada betapa kuatnya dia menghadapi luka itu. Pada kuatnya dia percaya pada takdir dan redha. Pada kuatnya dia ingin mencari redha Ilahi dalam hidupnya. Dan benar, Ternyata adik itu seorang yang kuat. Mampu kembali bangun dari luka yang bukan sedikit peritnya~

Aku sendiri, aku kira, hampir setahun kisah itu bernanah luka didalam hati. Cukup lama untuk kembali sembuh dan kembali memberi. Ah..Tapi adik itu ternyata mampu bangun dengan gagah. Kekaguman aku makin meningkat pada adik itu.

Aku jadi terharu~ Bercampur baur gembira. Syukurlah, lukanya membawanya semakin dekat pada Penciptanya. Tidak dapat aku gambarkan perasaannya didalam hati. Tapi yang pasti, rasa gembira dan syukur mendahului.

Dan kini, adik yang aku kagumi itu akan berwalimah~ Akan punya keluarga dan isteri, akan punya ipar dan mertua, akan memikul tanggungjawab sebagai suami.  Indah bukan? Bagaimana seorang adik yang pernah terluka, kembali bangun dari luka itu kerana ingin mencari redha Ilahi.

Terlalu indah.

Ah.. Terasa seperti sudah terlalu tua rasanya~ hoho.

Tapi untuk adik itu, doanya semoga selamat ya. Tidak lama lagi dirimu akan mempunyai isteri~ dan itu bererti sudah bertambah tanggungjawabmu kepada bukan sekadar mendidik diri. Jadilah Imam yang akan membawa isterimu jauh ke syurga. Cita citamu biar tembus ke sana. Bimbing isteri dan zuriatmu menjadi muslimah dan muslim yang sejati. Tuailah apa di dunia kerana apa yang di ganjarkan di akhirat. Dan percayalah, tidak akan rugi orang yang berjual beli dengan Ilahi.  Itu doaku~

Aku tahu kau bisa~ Pasti!

Kerana aku kenal dirimu. Seorang adikyang serinya ada pada kesederhaannya.Pada tutur dan kesopananya~

Selamat ya! Dan oh, doakan aku juga supaya cepat cepat berwalimah. Hoho~


Ingin sekali aku gengam bahu adik itu, dan akan aku katakan~ “Doanya hanya yang terbaik buatmu!”

.: Kunci~ :.

Tuesday, March 6, 2012

“Kenapa?”Edi bertanya~

Pandangan yang sebentar tadi aku pandang jauh, aku alihkan. Aku mengeleng~

“Takde apa apa. Kenapa tanya?” aku membalas~

Edi tersenyum~

“Tak. Kalau kau ada apa apa, mesti kau renung jauh macam tadi. Ada yang menganggu fikiran?” Ujar Edi.

Giliran aku pula tersenyum~

“Mungkin” Balasku.

“Mungkin apa?”

Edi bertanya. Aku Cuma diam dan mengeleng. Tergelak kecil~

“Hey! Mungkin apa ni?” Tanya Edi lagi.

“Entah. Mungkin aku tak pernah layak untuk sesiapa.” Balasku.

Edi tergelak besar. Gelaknya kuat sekali. Aku Cuma tersenyum sambil mengeleng~

“La.. Tak habis lagi pasal dia tu. Masih berharap?”

“Tak. Mungkin lebih kepada kecewa~”

“Kecewa seperti kata kau dulu? Yang kau tiada apa apa waktu dan ketika ini? Berbanding lelaki yang datang dalam hidup dia dan jauh lebih baik berbanding kau? Begitu?”

“Ya~ Mungkin” Hilang senyumku dengan kata kata Edi.

“Betul juga. Dia ada PhD. Dan kau tiada~”

Aku tersenyum sinis~

“Dan dia juga ada kerja~ tetapi kau masih belum ada.” Edi menyambung.

“Dan dia juga ada segalanya, berbanding engkau yang tiada apa~” Kata Edi lagi. Aku mengalihkan pandangan.

“Dan dia..”

“Hey! Cukuplah~” Bentak ku tiba tiba. Edi tergelak. Aku jadi sesal dengan Edi. Tapi kemudian, aku tergelak juga.

“Tapi~ Kau ada sesuatu yang dia takde~”

“Maksud kau?”

“Kau ada prinsip~ Kau ada prinsip yang tidak mahu menyediakan komitmen selagi kau masih belum ada apa. Dan kau tak mahu menyentuh hati seseorang selagi dia belum menjadi halal bagimu. Itu yang kau ada~” Sambung Edi.

Aku mengeleng. Dan lantas mengalihkan pandangan.

“Tak~ Dan kerana prinsip itu aku masih tercari cari~ Dan kerana prinsip itu, datang orang lain mendahului” Balasku.

“Jadi kau sanggup gadai prinsip demi mencari cinta?” Ujar Edi. Aku terdiam.

“Cinta bukan Tuhan seperti katamu Iman. Bahkan dalam Usrah yang kau beri, kau sering tekankan cinta bukan segalanya~”

“Benar~”

“Iman~ Jodoh hanya akan terbuka bila engkau mempunyai kuncinya. Dan kunci bagi jodoh adalah masa. Kau sudah ikhtiar. Kau berkerja sambilan. Kumpul duit. Kau ada matlamat. Berbanding mereka yang melampiaskan cinta dengan emosi Cuma. Kau tatang perasaan kau demi mendapat seseuatu yang mampu kau cintai dengan halal. Cuma sekarang bukan masa kau Iman. Sekarang bukan kunci kau. Adakah cinta sebelum halal yang engkau mahu?” Jelas edi.

Tangannya mengenggam bahuku. Penuh mahabbah. Tak sangka, kata kata yang pernah aku tazkirahkan, aku kembali mendengarkan nya. Terima kasih Sahabat.

Aku tersenyum~

Perjuangan memang melelahkan. Hingga terkadang kita dituntut tentang apa yang kita perkatakan. Ada masa kita jatuh. Kita letih dari melangkah dan terus melangkah. Tapi itu bukan ertinya harus terhenti. Pentingnya seorang sahabat kembali mengingatkan diri~

“Terima kasih~” Ujarku.

Edi tersenyum.

“Jadi kenalah teruskan usaha kan? Cinta yang baik, adalah cinta yang ada matlamat. Kau betul Edi. Aku tiada apa. Aku masih tiada ilmu yang cukup tentang agama. Aku masih tiada ilmu yang banyak tentang dunia. Aku masih mendaki. Mendaki dengan perlahan. Amalku masih sedikit. Ilmuku masih kurang. Terima kasih kerana mengingatkan, sahabat~” Balasku.